Pengantar :
Izzat Isa (Muhammad Izzat bin Md Isa) dilahirkan di Alor Setar, Malaysia pada tahun 1988 dan seterusnya menetap di Pulau Langkawi hingga kini. Beliau mendapat pendidikan tinggi di Universiti Sains Malaysia untuk Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kesusasteraan) (2008-2012) dan Ijazah Sarjana Sastera (Kesusasteraan) (2012-2014). Dalam bidang penulisan, beliau menulis karya kreatif dan non-kreatif seperti puisi, cerpen, skrip sketsa, zine, komentar, resensi buku, prakata, laporan berita, artikel, kertas kerja dan buku. Penulisan beliau telah tersiar di akhbar, majalah, buletin, antologi bersama dan media digital di Malaysia dan Indonesia. Pengkhususan penulisannya merangkumi bidang sastera, sejarah, seni, budaya, warisan dan pelancongan. Dalam pergaulan kemasyarakatan, beliau telah menyertai Persatuan Karyawan Pulau Pinang, Angkatan Sasterawan Nasional (ASASI) Negeri Kedah, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Persatuan Penggiat Budaya Warisan Langkawi (PPBWL) dan Persatuan Artis Seni Visual Langkawi (LAVAA).
Sugul
Pada suatu kenyataan adanya
titik-titik kelabu dalam ruang kabur
memeluk diri dengan badan terasing
kita yang bukan kita – keliru
entah hilang di garisan masa.
Luntur indahnya sawo matang
hilang seri rambut ikal mayang
menjadi rupa bukan asli lagi
yang kurang dibakar garing mentari.
Duri menikam lidah bangsa
kelu dijerut malu terperuk
sanggah yang tidak dipeduli
menjerut erat lagi, terjerit lagi kami.
Kita yang gagah
ahh karut belaka
hanya angan siang pendusta
itu yang dinyatakan, ini kenyataan
kata mereka, kata menyeru kalah
ketawa si jiwa lemah.
Bebas dan percaya
yakin kepada daya usaha
ingin berlari mencabar diri
bukan semua terisi, merasai
masih lagi di cengkam minda
masih terkurung dakyah keji
berantai dari jatuhnya Melaka.
Usia pendakian
mahir berkeupayaan
melewati ruang-ruang
demi masa dan detiknya
lampu harapan masih berdiri
saban di hembus durjana pertiwi.
Pada diri yang tidak alpa
Sendu di wajah pemikir sugul
meratib pilu di ambang senja
menghitung hirisan duka
percaya pada hari muka
benar-benar menjadi kita.
Izzat Isa
Langkawi, Kedah, Malaysia
Tergantung Pertanyaan
Beku jadinya
yang tersedia bertabrakan
menginginkan kembali asal
cair dalam petak-petak peta
hilang bentuk gerhana jadinya.
Kaku langkahnya
memaling ke puncak kecewa
aku di penjara diri dengan
rona suram tanpa tanda.
Bisu buatnya
dengan letupan di dada
membakar diri terbuka bicara
bicara apa untuk nyata?
tanpa jalinan ke jalan
iya soalan tanpa perhentian.
Izzat Isa
Langkawi, Kedah, Malaysia
Yang Bermain-main Dengan Kerisauan
Yang menyapa tidak bertepian adalah kerisauan
menjengah sesekali semakin sekerap mungkin
hari ini lagi dan lagi, diikat tali lesu berpanjangan
seperti kemarin, mengah ditelan dalam kepayahan
sesak dengan kesukaran adalah bukan gurauan
adakah waktunya telah tiba diketuk pintu derita?
Digantung pertanyaan, adakah seperti mereka?
kencang tak terkira resah tak bertanda
meninggalkan sesuatu di kerongkong kelat
aku cuba berenang mencari hayat
menghitung segala untuk memadam resah durjana
tidakkah apa-apa dengan apa yang ada?
pastinya aku yang masih tenggelam dalam kerusuhan.
Izzat Isa
Langkawi, Kedah, Malaysia